Home Nasional Ronald Kiandee terima tawaran Pengerusi PAC

Ronald Kiandee terima tawaran Pengerusi PAC

Ronald Kiandee. foto Bernama

KUALA LUMPUR –  Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengesahkan bahawa beliau telah ditawarkan untuk menggalas jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Perkara itu, katanya telah dimaklumkan secara tidak rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Khamis lepas, di Parlimen.

Bagaimanapun, katanya keputusan mengenainya akan diputuskan paling awal Selasa ini, selepas usul cadangan berkenaan dibentang di Dewan Rakyat.

“Memang dalam ‘Order Paper’ yang dikeluarkan Parlimen, bahawa antaranya untuk mencadangkan nama bagi jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi PAC. Kalau ikutkan, usul ini akan dibentang sebaik penggulungan usul titah Yang di-Pertuan Agong selesai,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat Isnin ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mencadangkan Kiandee sebagai pengerusi PAC manakala anggota Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa tersebut.

Pakatan Harapan dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 antara lain menjanjikan akan memilih Anggota Parlimen pembangkang sebagai pengerusi PAC .

Kiandee yang juga anggota Parlimen Beluran berkata sebagai seorang anggota Parlimen beliau menerima tawaran berkenaan dengan hati terbuka dan berjanji akan menjalankan tanggungjawab dengan baik sekiranya usul berkenaan diluluskan Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun kita tunggu sehingga usul dibentangkan,” tambahnya.

Sebelum ini media melaporkan bahawa Ahmad Zahid yang juga presiden UMNO yang akan ditawarkan jawatan berkenaan, bagaimanapun beberapa portal berita hari ini memetik kenyataan Liew yang menyatakan bahawa tawaran berkenaan telah ditolak Ahmad Zahid.

Liew turut dipetik sebagai berkata bahawa nama Kiandee dicadang sendiri Ahmad Zahid dan nama bekas timbalan speaker juga telah dikemukakan dan dilulus anggota Kabinet. – Bernama