Home Politik Sedia galas tanggungjawab Exco – ADUN Sungai Kandis

Sedia galas tanggungjawab Exco – ADUN Sungai Kandis

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) N.49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengangkat tangan selepas diumum menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis, Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 04 OGOS 2018.
Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengangkat tangan selepas diumum menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis, Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 04 OGOS 2018.

KOTA KEMUNING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata beliau sedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam sekiranya dipilih pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan kalau dirasakan sesuai, saya sedia dan kalau sebaliknya saya akan buat kerja seperti biasa.

“Yang menyintai pun ramai sebab ada ADUN yang berlatarbelakangkan pendidikan agama juga. Jadi saya pun tidak mahu terlalu mengharap, biarlah parti buat keputusan,” katanya pada sidang media di Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Sri Muda hari ini.

Nama Zawawi disebut-sebut menggantikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi setelah penyandangnya Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia Jumaat lalu selepas menderita barah usus.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata, beliau pernah bekerja dengan Dr Shaharuddin sebagai Setiausaha Kanan dan mempunyai latar belakang luas dalam bidang agama.

“Sebenarnya sebelum ADUN Sri Setia meninggal, saya pernah bekerja di bawah beliau sebagai Setiausaha Kanan tetapi sempat sebulan sahaja dan saya letak jawatan atas faktor tertentu.

“Maksudnya pengalaman yang ada sebagai perunding latihan kerajaan negeri selama 10 tahun mengendalikan program modal insan, saya juga seorang bekas guru, pengusaha sekolah dan juga dalam hal ehwal Islam kerana terlibat dalam ABIM.

“Saya juga pernah menganggotai Majlis Agama dan Jabatan Agama, jadi saya tahu sedikit pengalaman tentang gerak kerja Exco tersebut,” katanya.

Zawawi memenangi DUN Sungai Kandis dengan majoriti 5,842 undi.

Zawawi mendapat 15,427 undi, manakala Lokman 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy hanya mengumpul 97 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Dalam pada itu, Zawawi menolak dakwaan beliau gagal mengekalkan majoriti tinggi yang diperoleh PKR pada PRU14 lalu.

Sebelum ini, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafiei memperoleh undi sebanyak 23,998 undi.

“Kalau ikut peratusan, masa PRU majoriti kami 12 peratus tetapi PRK ini kami dapat 24 peratus. Macam mana boleh kata kurang pulak.

“Jumlah majoriti kurang sebab jumlah yang turun mengundi rendah. Kalau dari segi peratusan undi, sebenarnya meningkat sekali ganda,” katanya.

Kemerosotan jumlah undi yang diperolehi pada PRK Sungai Kandis kali ini dipengaruhi faktor peratusan keluar mengundi yang rendah hanya 49.4 peratus daripada 51,217 pengundi berdaftar. -MalaysiaGazette