Home Ekonomi Dulu Abdul Khalid tawar pengambilalihan Splash RM1.83b sahaja

Dulu Abdul Khalid tawar pengambilalihan Splash RM1.83b sahaja

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kiri) menyaksikan penyerahan surat oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Suhaimi Kamaralzaman (tengah) kepada Pengerusi Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (kanan) pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Cadangan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) pada harga RM2.55 bilion adalah sangat tinggi berbanding nilai sepatutnya sebanyak RM1.8346 bilion.

Jumlah itu merupakan angka yang diputuskan oleh Kerajaan Selangor semasa di bawah pemerintahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Nilai RM1.8346 bilion itu membabitkan RM250.6 juta bagi pampasan ekuiti dan RM1.584 bilion untuk tanggungan liabiliti memandangkan tawaran itu dapat mengelakkan pelbagai implikasi buruk dengan kemungkinan berlaku sangat tinggi.

Sumber yang mengetahui mengenai pengambilalihan Splash memberitahu, meskipun dengan jumlah itu, Splash tidak akan mengalami kerugian sebaliknya mendapat keuntungan yang munasabah.

Menurut sumber, penilaian pampasan ekuiti Splash itu dikira berdasarkan pelaburan asal keseluruhan yang berjumlah RM400 juta iaitu – RM50 juta dalam bentuk saham biasa dan RM350 juta dalam saham-saham pilihan boleh tebus.

Tempoh untuk menggunapakai pulangan ekuiti tahunan 12 peratus yang bersamaan 12 tahun (mulai Januari 2000 hingga Januari 2012) dan jumlah dividen lampau yang telah dibayar setakat 31 Disember 2012 berjumlah RM725.4 juta.

Ia juga mengambil kira jumlah pulangan pelaburan sebanyak RM725.4 juta dan jumlah pulangan keseluruhan RM976 juta serta pampasan ekuiti RM250.6 juta.

Sumber berkata, Splash telah menolak cadangan pengambilalihan pada 2014 dengan alasan pampasan ekuiti tidak sepatutnya dinilai dengan pendekatan pulangan ekuiti tahunan pada kadar 12 peratus tanpa dikompaun dan ditolak sebarang bayaran dividen lampau.

Splash dakwanya mahu mengguna pakai kaedah nilai tempahan bersih (NBV) atau aliran tunai diskaun (DCF) yang lazimnya menjadi pilihan utama bagi mentafsir nilai saksama dalam penggabungan dan pengambilalihan.

Selain itu, tuntutan berkenaan mengambil kira tunggakan Splash terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berjumlah RM4.7 bilion setakat 30 Jun tahun lalu.

Kata sumber, tuntutan Splash dianggap tidak munasabah kerana pendekatan pulangan ekuiti tahunan pada kadar 12 peratus tanpa dikompaun adalah berdasarkan satu klausa yang termaktub dalam Perjanjian Konsesi/Penswastaan yang diguna pakai secara seragam dalam penilaian bagi semua empat konsesi air – Syabas, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) dan Splash.

Tambahan pula, katanya, hutang tertunggak atau sebarang tuntutan lain terhadap Syabas secara semula jadi selesai apabila proses pengambilalihan kesemua konsesi bergabung bawah satu entiti – Air Selangor.

Sumber mendakwa, sekiranya tuntutan itu dirujuk kepada badan timbang tara antarabangsa pun, keputusan akan berpihak kepada Kerajaan Selangor (semasa pentadbiran Abdul Khalid) kerana pulangan ekuiti tahunan pada kadar 12 peratus adalah jauh lebih lumayan berbanding piawaian antarabangsa sebanyak 8 peratus sahaja.

Minggu lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan cadangan untuk mengambil alih Splash pada harga RM2.55 bilion selepas berunding selama setahun.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, harga tersebut ditawarkan selepas mendapat diskaun sebanyak 28 peratus berdasarkan nilai buku bersih SPLASH pada 30 Jun iaitu RM3.54 bilion.

Pengambilalihan ini juga akan menyelesaikan hutang tertunggak yang ditanggung oleh Syabas, anak syarikat Air Selangor kepada Splash untuk pembelian air terawat yang telah mencecah RM4.7 bilion setakat 30 Jun 2018.

Bagaimanapun, Abdul Khalid yang tidak terkejut dengan cadangan harga pengambilalihan itu berkata, langkah Kerajaan Selangor itu telah memberi peluang kepada pemilik saham syarikat itu mendapat keuntungan dan pampasan berlebihan.

Pada masa sama, kata bekas Menteri Besar Selangor, ia turut meletakkan beban serta tanggungjawab untuk pembayaran tersebut ke atas rakyat dengan mengenakan tarif yang tinggi.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di seluruh Selangor yang telah dilaksanakan sejak Pakatan Rakyat mengambilalih kerajaan pada 2008.

Tanpa berselidung, beliau turut berkata, isu pengambilalihan air itu juga antara penyebab beliau diminta meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada 2014. – MalaysiaGazette