RIYADH – Arab Saudi telah menggantung penerbangannya ke Toronto selepas Kanada didakwa campur tangan dalam hal ehwal dalam negara itu.
Saudi Arabian Airlines berkata, mana-mana tiket yang dibatalkan akan diterima semula tanpa dikenakan caj pembatalan.
Syarikat penerbangan itu akan membuat segala usaha untuk mencari penyelesaian bagi penumpang yang telah menempah penerbangan ke atau dari Kanada.
Arab Saudi itu juga telah membekukan perdagangan dan mengusir duta besar Kanada.
Tindakan Arab Saudi itu selepas Kanada menyeru pembebasan Samar Badawi, seorang aktivis masyarakat sivil dan hak wanita yang ditahan.
Selasa lalu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia berkata, sekurang-kurangnya 15 aktivis hak asasi manusia dan wanita yang kritikal terhadap kerajaan Arab Saudi telah ditangkap atau ditahan secara sewenang-wenang sejak 15 Mei lalu.
Samar adalah kakak kepada blogger Raif Badawi yang sedang dipenjarakan.
Lapan daripada mereka dipercayai telah dibebaskan sementara menunggu prosedur seterusnya.
Tetapi kedudukan beberapa individu lain tidak diketahui.
Bagaimanapun, Kanada berkata, negara itu akan terus menyokong hak asasi manusia.
Menteri Luar Negeri Kanada Chrystia Freeland berkata, beliau sangat prihatin tentang pengusiran diplomatnya tetapi menambahkan: “Kanada akan selalu berdiri untuk perlindungan hak asasi manusia, termasuk hak-hak wanita dan kebebasan bersuara di seluruh dunia.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk mempromosikan nilai-nilai ini dan kami percaya bahawa dialog ini sangat penting untuk diplomasi antarabangsa,” katanya.
Namun, rakan sejawatnya, Adel al-Jubeir dalam Twitternya berkata, Kanada telah mendapat maklumat yang salah kerana mereka yang ditahan tertakluk kepada undang-undang Arab Saudi dengan jaminan hak-hak mereka.
Beberapa individu yang ditahan oleh Arab Saudi itu didakwa terlibat dalam jenayah serius termasuk berhubung dengan pihak-pihak asing yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun.
Samar ditahan minggu lalu bersama seorang lagi aktivis wanita, Nassima al-Sadah.
Wanita itu merupakan penerima Anugerah Keberanian Antarabangsa Amerika Syarikat pada tahun 2012 dan dikenali kerana mencabar sistem perlindungan lelaki Arab Saudi.
Abangnya, Raif dihukum 10 tahun penjara dan 1,000 sebatan kerana menghina Islampada tahun 2014, sementara isterinya, Ensaf Haidar, tinggal di Kanada dan baru-baru ini menjadi warga negara itu.- MalaysiaGazette