KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia untuk mengurangkan bilangan hari cabutan khas syarikat nombor ramalan seperti Magnum, Toto dan Da Ma Chai bagi memastikan masalah seperti ketagihan judi dapat dikekang.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan membuat pengumuman itu ketika Belanjawan 2019 padaa November ini.
“Saya sudah cakap sebelum ini, ada banyak permintaan supaya bilangan hari untuk cabutan nombor ini dikurangkan dan kita kerajaan baru sememangnya maklum tentang isu ini. Kita akan buat pengumuman pada November ketika Belanjawan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi (PH-DAP) tentang perancangan kerajaan untuk membenarkan syarikat ramalan mengadakan cabutan khas pada hari Selasa bagi tahun 2019 dan masa akan datang.
Cabutan nombor ramalan ini diperuntukkan setiap minggu oleh Kementerian Kewangan kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) kepada setiap syarikat nombor ramalan seperti Magnum, Toto dan Da Ma Cai pada hari Rabu, Sabtu dan Ahad.
Manakala cabutan khas lazimnya diperuntukkan dua kali dalam tempoh sebulan iaitu pada hari Selasa. – Malaysia Gazette