Home Nasional Jangan mansuh GST hanya kerana janji manifesto – Khairy

Jangan mansuh GST hanya kerana janji manifesto – Khairy

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2018.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak sepatutnya dimansuhkan hanya kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah membuat  janji manifesto kepada rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga mendapat kemenangan besar.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (BN) menggesa kerajaan supaya memperbaiki ‘kelemahan’ dalam sistem tersebut yang menyebabkan rakyat terbeban serta marah dan bukan memansuhkannya.

Jelas Khairy, GST adalah sistem yang lebih cekap daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan pada September depan sejurus selepas pemansuhan GST sifar peratus.

“Kerajaan sepatutnya memperbaiki pelaksanaan cukai tersebut bagi mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu kehilangan kutipan hasil negara. Tidak guna mansuh GST kemudian melaksana kembali cukai itu pada masa depan.

“SST tidak mampu menandingi sistem GST yang jauh lebih telus, kerajaan ketika ini perlu cuba membaik pulih sistem sedia ada ini, mungkin dengan mengurangkan dari enam peratus kepada tiga peratus sebagai cadangan.

“Seandainya menteri boleh dapat hasil yang sama dengan GST tapi kadar yang lebih rendah dengan dibesarkan senarai pengecualian, kenapa perlu mansuh GST walaupun ia merupakan janji pilihan raya?,” hujah beliau.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dalam Dewan Rakyat sebentar tadi.

Jelas Khairy, beliau yang Barisan Nasional (BN) tidak bersetuju dengan cadangan pemansuhan GST, sebaliknya sebuah jawatankuasa khas perlu ditubuhkan terlebih dahulu bagi mengkaji semula cadangan tersebut.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan RUU Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali kedua hari ini. – MalaysiaGazette