Home Dunia Kalaignar Karunanidhi meninggal dunia

Kalaignar Karunanidhi meninggal dunia

CHENNAI – Bekas Ketua Menteri India Selatan, Kalaignar Karunanidhi menghembuskan nafas terakhir pada usia 94 tahun di Hospital Kauvery kira-kira jam 6.10 petang waktu tempatan.

Times Of India (TOI) melaporkan, Karunanidhi yang terlantar di hospital sejak 28 Julai lalu akibat jangkitan pada sistem urinari selain menghadapi masalah pernafasan.

Pemergian beliau sangat dirasai bukan sahaja dalam dunia politik dan kesenian, sebaliknya keseluruhan warga India terutamanya di Tamil Nadu yang dikatakan telah banyak menabur jasa dan sukar dicari ganti.

Karunanidhi menjawat jawatan Ketua Menteri selama lima penggal antara tahun 1969-71, 1971-74, 1989-91, 1996-2001 dan 2006-2011.

Beliau merupakan salah seorang pengasas serta Presiden parti politik paling berjaya di India, Dravida Munnetra Kazhagam sejak kematian C.N Annadurai pada 1969.

Pemimpin tersohor ini juga memiliki rekod menang semua pilihan raya yang pernah ditandinginya sepanjang karier politik beliau selama hampir 60 tahun.

Kerajaan Tamil Nadu telah mengisytiharkan cuti umum esok dan tujuh hari berkabung. -MalaysiaGazette