Home Nasional Kerjasama IRI satu pengkhiatan negara, polis perlu siasat

Kerjasama IRI satu pengkhiatan negara, polis perlu siasat

Raggie Jessy
Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy Becakap pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. foto MIRZA HASIM, 7 OGOS 2018

PETALING JAYA – Pergerakan Malaysiaku Tanahairku mahu polis segera menyiasat pendedahan International Republican Institute (IRI) yang mendakwa telah membantu Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Pendedahan oleh Presiden IRI, Daniel Twining dibuat itu melalui video berdurasi 2 minit 36 saat menjadi tular di Youtube, Facebook dan WhatsApp.

IRI adalah organisasi yang dibiayai National Endowment for Democracy berpusat Washington.

Ketuanya, Raggie Jessy berkata, Twining mengaku bekerjasama dengan pembangkang yang kini merupakan pemerintah negara dalam usaha menjatuhkan BN sejak 2002 selama 15 tahun lalu.

Tambahnya, sebarang bentuk perbuatan atau tindakan yang membawa kepada pencabulan demokrasi serta mengancam keselamatan negara, bermakna secara automatik mengisytiharkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong yang merupakan ketua negara.

“Kita lihat pengakuan berasaskan bukti Twining, jelas menunjukkan Pakatan Harapan memenangi PRU14 secara tidak sah dan cuba mencabul demokrasi dengan campur tangan Amerika Syarikat.

“Ini serius dan satu pengkhianatan kerana ia secara tidak langsung mengisyitiharkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

“Ia perlu disiasat menjurus kepada satu resolusi supaya PRU baharu diadakan bagi membenarkan rakyat memilih semula,” katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi ini.

Beliau hadir ke Balai Polis berkenaan sekitar 10.50 pagi dan membuat laporan polis supaya pendedahan video berkenaan disiasat.

Malah, dakwanya, kerjasama pembangkang dengan kuasa asing sejak 15 tahun lalu bukan sekadar sumbangan dana sahaja, tetapi melalui banyak cara bagi melumpuhkan pemerintahan negara di bawah kepimpinan terdahulu.

“Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan telah pergi ke pusat tertentu dikendalikan badan antarabangsa ini untuk belajar cara menumbangkan kerajaan Datuk Seri Najib Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Mereka yang berkonspirasi dengan kuasa luar, boleh dianggap pengkhianat,” katanya.

Ditanya beberapa Pakatan Harapan yang menafikan pendedahan itu, Raggie berkata, mereka sebenarnya pernah mengakui menerima dana, nasihat dan latihan strategik analisis dan sebagainya dari kuasa asing.

“Kita bukan berada di sini untuk meminta kerajaan memerintah mengesahkan pendedahan berkenaan, tetapi mahu kesahihan inti pati dalam video itu disiasat polis.

“Sebelum ini pemimpin Pakatan Harapan termasuk Lim Guan Eng mendakwa ada pegawai dari JPM menulis surat kepada CIA, menagih campur tangan dalam PRU14 dan perlu disiasat kerana mencabul kedaulatan negara.

“Ini apa bezanya, pengakuan ini lagi teruk daripada pembocoran surat CIA yang mana kamu berkomplot dengan kuasa luar dan berusaha 15 tahun untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

“Jadi kami hendak justifikasikan pendedahan individu itu adalah benar dan mahu polis segera siasat perkara itu.

“Kalau polis serius siasta Najib, tunjukkan juga kesungguhan dan komited sama dalam hal ini melainkan kamu akan dianggap hipokrit,” tegasnya..- MalaysiaGazette