KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 diluluskan pada peringkat dasar setelah dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat malam tadi.
Bacaan kedua itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum diluluskan.
RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagi selepas pembangkang mengemukakan usul meminta perbahasan bagi peringkat jawatankuasa, diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilih.
Terdahulu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran – BN) mengemukakan usul untuk membawa rang undang-undang tersebut kepada Jawatankuasa Pemilih terlebih dahulu.
Peraturan itu menetapkan usul tidak boleh dibahas dan perlu diputuskan Dewan Rakyat.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudian membuat keputusan untuk undi belah bahagi dilakukan.
Hasil undian itu mendapati seramai 111 ahli Parlimen tidak bersetuju berbanding 51 orang bersetuju manakala empat ahli Parlimen tidak menyertai pengundian.
“Dengan ini, keputusan undi belah bahagi, bilangan ahli yang bersetuju ialah 51 orang, yang tidak bersetuju 111 orang manakala yang tidak mengundi empat orang.Usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Beluran di tolak,” katanya.
Perbahasan peringkat jawatankuasa dijangka bermula esok.
Dalam pada itu, sesi penggulungan menjadi hangat seketika apabila Guan Eng yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan bertelingkah dengan Khairy Jamaluddin (Rembau – BN) dan saling tuduh menuduh.
Khairy meminta penjelasan relevan kerajaan Pakatan Harapan yang mengenalkan Cukai Jualan 2018 dengan menggantikan GST.
Guan Eng turut menggesa agar usaha pengenalan SST itu tidak disabotaj atau sengaja ditolak oleh wakil Dewan Negara Barisan Nasional demi agenda dan serangan peribadi sebaliknya diminta mementingkan kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette