KUALA LUMPUR – Kerajaan Singapura nafi mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi berbincang tentang projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan negara itu berkata, bukan sahaja tidakĀ ada pertemuan yang dijadualkan, malah tiada pertemuan di antara Azmin dengan pegawai yang mengendali projek HSR.
“Sehingga 6 Ogos 2018, kerajaan Malaysia tidak memberikan penjelasan yang diminta oleh Singapura dan tidak menyampaikan tarikh cadangan mereka untuk perbincangan tersebut,” kata jurucakap itu kepada portal TodayOnline hari ini.
Kenyataan jurucakap itu ternyata bercanggah dengan kenyataan Azmin pada Isnin lalu yang memberitahu telah membuat pertemuan dengan pihak berkuasa Singapura ketika berada di negara itu pada Ahad lalu.
Pembangunan projek HSR yang dicadangkan semasa pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional pada 2013.
Projek yang menelan kos sebanyak RM55 bilion itu akan memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit berbanding lima jam melalui jalan raya, tujuh jam melalui kereta api biasa dan sejam dengan kapal terbang.
Namun selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya yang lalu, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mahu projek mega itu akan ditangguhkan.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata, republik itu telah menghantar makluman bertulis bagi meminta penjelasan mengenai status semasa projek itu.
Namun tidak ada jawapan rasmi sehingga 9 Julai, kata Khaw Boon dan terkini negara itu dijangkakan menanggung kerugian sebanyak S$6 juta.- MalaysiaGazette