KUALA LUMPUR – Sistem agihan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan ditambah baik bagi memastikan ia lebih sistematik dan memberi manfaat kepada penerima pinjaman Latihan Kemahiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malysia (TVET), Nurul Izzah Anwar berkata, segala usaha penambahbaikan yang dilakukan adalah bertujuan untuk memastikan peruntukan yang terhad masih dapat disalurkan dapat membantu pelatih.
Selain itu, ia juga dapat mempertingkatkan prestasi bayaran balik Pinjaman Latihan Kemahiran setelah para pelatih mendapat pekerjaan kelak.
“Dengan usaha meningkatan Kutipan Bayaran Balik Pinjaman akan digunakan sebagai dana pusingan untuk diagihkan kepada lebih ramai pelatih pada masa akan datang,” katanya semasa sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke PTPK di sini hari ini.
PTPK yang ditubuhkan di bawah Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 mula beroperasi pada 2006 dengan menggunakan dana tahunan yang diperuntukkan melalui Bajet Pembangunan berdasarkan Rancangan Malaysia (RMK).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Izham Hamzah, PTPK mendapat bajet yang lebih banyak dalam RMK10 bagaimanapun ia semakin berkurangan kepada RM200 juta setahun pada RMK11.
Pada tahun ini sejumlah RM175 juta telah diperuntukkan kepada PTPK dan menurut beliau, sebanyak RM95 juta telah disalurkan kepada pelatih.
Bagi tahun 2001 sehingga 30 Jun 2018, PTPK telah menyalurkan dana berjumlah RM4.07 bilion kepada 415,490 pelatih.
Daripada jumlah tersebut, 1.509 juta akaun peminjam sepatutnya telah membuat pembayaran balik bagaimanapun hanya 538,333 akaun sahaja yang menunaikannya.
Setakat ini, jumlah kutipan bayaran balik yang telah diterima adalah sebanyak RM502 juta atau kira-kira 32.1 peratus sahaja.
Dalam perkembangan berbeza, Nurul Izzah berkata, isu penyelewengan dana PTPK sebanyak RM40 juta yang berlaku tahun lalu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau bagaimanapun tidak mahu isu tersebut mengganggu peruntukan dana serta aktiviti PTPK.- MalaysiaGazette