Home Nasional Kerajaan akan bentang kertas putih mengenai Felda

Kerajaan akan bentang kertas putih mengenai Felda

Azmin
Arkib: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan satu kertas putih di Parlimen bagi mendedahkan situasi terkini Felda.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kertas putih yang akan dibentangkan itu turut mengandungi langkah rancangan startegik pemulihan semula organisasi tersebut.

“Kerajaan yakin lembaga pengurusan yang baru akan melaksanakan prinsip kebertangungjawaban dan urus tadbir yang tinggi demi menjayakan proses pemulihan dan pembangunan Felda yang mampan.

“Untuk maksud ini kerajaan telah memutuskan membentangkan kertas putih di dalam Parlimen bagi sesi akan datang bagi mendedahkan situasi sebenar Felda dan juga rancangan strategik pemulihan,” katanya.

Azmin berkata demikian menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam pertanyaannya, Sulaiman mahu kerajaan menyatakan proses penstrukturan Felda terkini yang dilaporkan mengalami masalah kewangan dan urus tadbir serta pengesahan sama ada Kilang Tawau Oil Product iaitu anak syarikat Felda Vegetable Oil Product Sdn. Bhd. tidak ditutup operasinya.

Azmin berkata, dua syarikat yang dikaitkan itu bukannya berada di bawah pengurusan Felda.

Bagaimanapun katanya, FGV Berhad tidak bercadang untuk menutup operasi kilang Tawau Oil Felda Product pada masa ini.

Tambah beliau, pada masa ini FGV sedang dalam proses rasionalisasi bagi meningkatkan nilai dan prestasi syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette