Home Politik ‘Najib yang kena bicara bukan UMNO’

‘Najib yang kena bicara bukan UMNO’

Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju supaya parti ‘dipisahkan’ dengan susuk bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menjadi orang ketiga dalam UMNO yang menyatakan pandangan yang sama selepas Datuk Seri Johari Ghani dan Tan Sri Annuar Musa.

Malah Mohamed Khaled menyokong saranan Johari supaya Najib sepatutnya tidak dibenarkan berkempen semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis baru-baru ini.

Beliau juga menegaskan kritikan terhadap kenyataan Johari menunjukkan sikap UMNO yang masih kekal dengan pemikiran lama.

“Nilai feudal masih dominan dalam UMNO dan menganggu usaha reformasi kepada yang lebih baik. Tidak ada nilai ‘malu’ dalam landskap pemikiran feudal,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli politik dalam UMNO, kata Mohamed Khaled mesti memahami masalah yang dihadapi oleh Melayu dan rakyat Malaysia sekarang.

“Ia (reformasi) menjadi susah jika UMNO masih tinggal dalam kepompong lama, mengingati perkara lepas dan membenarkan orang yang kini berhadapan dengan tindakan perundangan terlibat dalam parti.

“Ya, kita sepatutnya melayannya dengan hormat tetapi kita juga patut melupakan perkara lepas.

“Najib kini dibicarakan bukan UMNO,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu juga mahu UMNO tidak mampu berubah sekiranya pemimpinnya hidup dalam penafian.

Beliau juga mahu ahli-ahli UMNO mnerima hakikat yang parti mereka ditolak oleh rakyat pada PRU-14 dan kena kembali memenangi hati rakyat semula.-MalaysiaGazette