KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin hari ini menerima amaran terakhir agar tidak menggunakan perkataan lucah seperti yang dilafazkannya pada Selasa lalu.
Amaran itu dikeluarkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai peringatan bagi mengelak beliau diarah keluar daripada mengikuti perbahasan di Dewan Rakyat sehingga satu tempoh yang akan diputuskan olehnya.
Menurutnya, wakil rakyat lima penggal itu juga diingatkan agar tidak mengulangi perbuatannya yang mengeluarkan perkataan lucah atau tidak sopan ketika perbahasan sedang berlangsung.
“Saya akan gunakan seksyen 44(2) peraturan Dewan Rakyat iaitu satu peruntukan yang membenarkan speaker menghalang anggota parlimen menyertai persidangan dalam satu tempoh yang tertentu,” katanya di Dewan Rakyat.
Dalam insiden Selalu lalu, tindakan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin yang menyanggah Bung Moktar ketika sedang bercakap tentang harga barangan di pasar borong Selayang telah mengundang kemarahannya.
Ketika Bung berucap, Willie mencelah dan bertanya sama ada Bung Moktar pergi ke pasar borong Selayang atau ke kasino.
Bung membidas Willie sebagai biadab dan bertanyakan sama ada wakil rakyat PKR itu mahu mencari gaduh.
Beliau juga mengeluarkan perkataan “F*** you!” Kau salah orang,” katanya.
Mengulas lanjut, Ariff berkata, beliau mendapati perkataan yang digunakan Bung itu sangat kurang sopan namun, mengakui ia juga pernah digunakan oleh ahli Parlimen lain sebelum ini.
Beliau berkata, perkataan yang dikeluarkan itu jelas melanggar peraturan Dewan Rakyat walaupun Bung telah menarik balik perkataan itu,.
“Dalam hal demikian saya ingatkan semua ahli Parlimen mematuhi peraturan Dewan Rakyat di mana perkataan lucah dan tidak sopan tidak dibenarkan dan tindakan keras akan diambil mengikut seksyen 44 (2) peraturan Dewan Rakyat.
“Jika perkara itu disebut saya akan keluarkan arahan menghalau ahli Parlimen itu dari Dewan Rakyat dan keluarkan hukuman lain. Ahli Parlimen lain perlu pastikan perkara ini tidak diulang pada masa depan,” tegasnya.
Sementara itu, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugur) berkata, walaupun mengalu-alukan amaran Ariff tetapi beliau mahu Bung diambil tindakan yang tegas dengan menghalaunya dari Dewan Rakyat.
Beliau berkata, perkataan yang dikeluarkan Bung itu amat serius dan perlu satu tindakan yang tegas.
“Jika keluarkan perkataan lucah dan selepas itu tarik balik itu tidak wajar dan sangat tidak adil.
“Penarikan perkataan itu bukan tulen dan tak asli. Penarikan perkataan itu hanya untuk mengelak daripada diambil tindakan. Ahli Parlimen Kinabatangan juga lari (tidak ada dalam Dewan Rakyat) ketika Speaker memberi amaran. Ini tidak hormat Dewan Rakyat,” ujarnya.
Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) bangkit mempertahankan keputusan Speaker dengan berkata, Bung tidak dihukum sebab sudah balik menarik perkataan lucah itu.
Katanya, ini tidak seperti Ramkarpal yang dihalau dari Dewan Rakyat disebabkan tidak menarik balik perkataan ‘samseng’. – MalasyiaGazette