Home Politik Zahid harap Najib tak terasa hati dikritik dua pemimpin parti

Zahid harap Najib tak terasa hati dikritik dua pemimpin parti

Ahli Parlimen Bagan Datuk merangkap Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 OGOS 2018.
Ahli Parlimen Bagan Datuk merangkap Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Tan Sri Annuar Musa kerana mengkritik bekas perdana menteri dan presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam hal tersebut pendekatan yang akan diambil adalah dengan mengadakan perbincangan atau musyawarah.

Malah, parti tidak akan akur untuk menuruti pendapat mana-mana pemimpin atau individu.

“Saya harap Datuk Seri Najib tidak terasa hati dengan pendapat yang sedemikian.

“Kami memahami tekanan yang beliau hadapi dan kami bersimpati,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Ketua UMNO Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mempersoalkan keputusan parti menurunkan Najib untuk berkempen di Sungai Kandis pada Pilihan Raya Kecil DUN kawasan itu yang baru berlangsung Sabtu lalu.

Dalam kenyataannya Johari berkata, UMNO mungkin perlu merehatkan Najib pada pilihan raya kecil akan datang memandangkan bekas perdana menteri itu berdepan perbicaraan kes salahguna kuasa dan pecah amanah berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Sementara itu, pada hari ini pula, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Najib sebagai “beban” yang tidak lagi boleh dipikul oleh parti keramat orang Melayu ini.

Mengulas lanjut, Zahid yang kini Presiden UMNO berkata, mereka menghormati proses undang-undang yang sedang dilalui oleh Ahli Parlimen Pekan itu.

“Beliau melalui proses yang sedang dijalankan ini dengan penuh ketenangan dan tabah.

“Saya mengharapkan minda dan perasaan (Najib) tidak terganggu dengan komen yang sedemikian,” katanya. – MalaysiaGazette