KUALA LUMPUR – Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown menafikan artikel yang ditulis oleh portal itu berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan kesan negatif kepada masyarakat.
Beliau ketika ditemui sebelum meninggalkan Kompleks Mahkamah Tinggi di sini hari ini hairan kerana dirinya antara yang disebut dalam prosiding permohonan perintah tegahan (gag order).
“Saya tidak fikir penulisan dan artikel (Sarawak Report) memberikan impak. Saya yakin hakim akan dapat menilai dan menjalankan tugasnya.
“Saya menulis dengan fakta dan tidak ada penulisan saya yang diperdebatkan,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi.
Beliau hadir ke mahkamah ditemani oleh penyokong kuat Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Beliau kemudiannya meninggalkan bangunan itu beberapa minit selepas Najib keluar selepas prosiding ditangguh sehingga 2. 30 petang.
Sementara itu, peguambela Najib semasa berhujah untuk memohon perintah tegahan (order gag) itu berkata, antara yang memberi impak negatif terhadap kes Najib adalah perbincangan awam yang keterlaluan dan penulisan berita disiarkan Sarawak Report. -MalaysiaGazette