Home Dunia Kanak-kanak jadi mangsa serangan tentera gabungan

Kanak-kanak jadi mangsa serangan tentera gabungan

Orang ramai sedang membantu menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak yang terlibat dalam serangan tentera gabungan. foto Reuters

SAADA – Sekurang-kurangnya 29 kanak-kanak terbunuh dan 30 lagi cedera dalam serangan udara oleh tentera gabungan di Yaman, kata Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

Sebahagian besar kanak-kanak yang terbunuh itu berada dalam sebuah bas yang terkena peluru di Dahyan, dekat wilayah utara Saada.

Kementerian Kesihatan yang dikendalikan oleh gerakan pemberontak Houthi meletakkan angka kematian mencecah 43 orang dan 61 lagi cedera.

Gabungan yang menyokong pemerintah Yaman dalam peperangan dengan Houthis mengatakan tindakannya adalah ‘sah’.

Malah, gabungan tersebut menegaskan, ia tidak sengaja mensasarkan orang awam.

Namun kumpulan hak asasi manusia menuduh gabungan itu membom pasar, sekolah, hospital dan kawasan perumahan.

Sementara itu, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Yaman, bekas diplomat British, Martin Griffiths, merancang untuk menjemput parti-parti yang berperang ke Geneva pada bulan September untuk membincangkan rangka kerja untuk rundingan.

Beliau memberitahu BBC, jika konflik itu tidak dapat diselesaikan, Yaman boleh runtuh dan masyarakat antarabangsa boleh melihat “Syria-plus” pada tahun-tahun yang akan datang.

“Peperangan di Yaman akan menjadi semakin rumit apabila ia berlanjutan. Akan ada lebih banyak kepentingan antarabangsa dan polarisasi dari segi parti-parti, ia akan dipecahkan lagi, ia akan menjadi lebih sukar untuk diselesaikan – bahkan lebih daripada sekarang,” kata Griffiths. – MalaysiaGazette