Home Nasional Penyokong Najib marah dihalang masuk mahkamah

Penyokong Najib marah dihalang masuk mahkamah

Sekumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak yang di kawasan luar pagar mahkamah melaungkan ‘lawan tetap lawan’ sebagai tanda sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OGOS 2018.
Sekumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak yang di kawasan luar pagar mahkamah melaungkan ‘lawan tetap lawan’ sebagai tanda sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 10 penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kerana dihalang untuk berada di perkarangan Mahkamah Tinggi di sini hari ini. 

Jurucakap kumpulan itu, Rajandran Yenkaiah mempertikaikan halangan terhadap mereka sedangkan atas kapasiti rakyat Malaysia sesiapa sahaja boleh memberikan sokongan moral kepada sesiapa sahaja. 

“Mereka (pihak berkuasa) kata kami tidak boleh masuk sebab arahan atasan. Siapa yang halang? Kami rakyat Malaysia ada IC (kad pengenalan).

“Pukul 9 pagi berkumpul tidak dapat masuk kami sudah merayu tidak dapat masuk juga dan mereka kata dapat arahan daripada orang atas. 

“Akta apa yang mengatakan kami tidak boleh masuk?” soalnya yang datang daripada Bentong, Pahang ke ibu negara semata-mata untuk menyokong Najib.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang menganggap Najib seolah-olah sebagai seorang penjenayah. 

Najib pada beliau seorang pemimpin yang bertanggungjawab  membela nasib dan menyatu-padukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Dia (Najib) beri tanah rancangan menyatupadukan tiga kaum di satu tempat. Dia berjasa selama Barisan Nasional (BN) memerintah,” katanya lagi. 

Turut kelihatan bersama-sama kumpulan itu adalah pelakon, Ellie Suriaty. -MalaysiaGazette