Home Sukan Sukan Asia: PM sasar 10 terbaik

Sukan Asia: PM sasar 10 terbaik

Majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  meletakkan harapan kontinjen negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 untuk mencapai kedudukan antara 10 terbaik.

Katanya, tidak mustahil untuk Malaysia pencapai kejayaan itu dan mengulangi kegemilangan kontinjen negara pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

“Jika Malaysia pernah menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik pada temasya sebelum ini, saya tidak nampak mengapa kontinjen kita pada kali ini tidak boleh mengulangi kegemilangan itu pada 2018, atau pun melakukan sesuatu yang lebih baik daripada itu.

“Saya yakin kontinjen kali ini amat berkemampuan untuk mencatatkan kejayaan yang lebih bermakna, insyaAllah,” katanya memetik laporan Bernama ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini semalam.

Perdana Menteri berkata Malaysia mempunyai atlet-atlet bertaraf dunia seperti Al Jufferi Jamari (silat), Azizulhasni Awang (lumba basikal), Wong Weng Soon (Wushu) selain pasukan boling wanita dan skuad hoki lelaki yang tidak kurang hebatnya.

“Saya juga yakin mereka yang terpilih ini juga adalah yang terbaik dan mampu untuk sama-sama mengharumkan nama negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta menteri-menteri kabinet.

Sukan Asia edisi ke-18 itu dijadual berlangsung di ibu negara Indonesia iaitu Jakarta dan Palembang pada 18 Ogos-2 September ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut menyeru para atlet untuk membuktikan anak Malaysia mampu menjadi atlet terbaik dalam sukan masing-masing dan berjuang bukan hanya untuk diri sendiri, malah  membawa nama Malaysia.

“Saya yakin, semua yang memikul tanggungjawab untuk negara tercinta ini akan berjuang berhabis-habisan bukan untuk wang ringgit semata-mata, tetapi demi maruah diri dan pasukan.

“Bukan untuk habuan dan insentif sahaja. Tetapi untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia. Untuk mengangkat martabat negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Dr Mahathir berkata anggota kontinjen negara juga sewajarnya mencontohi semangat juang jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan menjadikannya pemangkin untuk membawa pulang kejayaan lebih gemilang.

“Biarpun anda (Chong Wei) tidak dapat bersama-sama kontinjen negara ke temasya edisi kali ini, namun semangat juang anda selama ini diharap akan menjadi pemangkin untuk kontinjen negara membawa pulang kejayaan lebih gemilang,” katanya yang turut mendoakan Chong Wei kembali pulih.

Jaguh perseorangan lelaki negara itu terpaksa menarik diri daripada menyertai Sukan Asia selepas mengalami masalah pernafasan dan dinasihatkan untuk berehat bagi menjalani rawatan.Pada edisi kali ini, kontinjen negara akan diwakili oleh 418 atlet. – MalaysiaGazette