PELABUHAN KLANGĀ – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bercadang untuk membenarkan orang ramai melihat secara dekat kapal persiaran mewah Equanimity bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik sebelum dijual.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika ia dijadikan bahan pameran, pihaknya khuatir pembeli akan hilang minat membidanya sekaligus menggagalkan usaha kerajaan untuk mendapatkan semula dana awam yang dicuri.
“Kita nak jual kapal ini, tapi kita kena simpan kapal ini dalam keadaan baik. Kalau kita benarkan ratusan orang datang ke kapal ini, ia akan memberi pandangan buruk, pembeli tidak akan membeli kapal itu yang dibuka untuk pameran.
“Jadi kita tidak boleh benarkan orang awam untuk melihat kapal itu tapi kita telah ambil gambar dan kita akan pastikan bagaimana rupa kapal itu,” katanya pada sidang media selepas dibawa melihat ke dalam kapal mewah Equanimity di Terminal Boustead Cruise Centre hari ini.
Hadir sama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengiringi ketibaan Perdana Menteri itu kira-kira 11.40 pagi tadi.
Kapal dipercayai milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low itu selamat tiba ke Malaysia kira-kira 12.25 tengahari pada Selasa lalu selepas berlepas dari pelabuhan Batam, Indonesia sejak petang Isnin lepas.
Kerajaan Indonesia menyerahkan kapal Equanimity kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Perdana Menteri semasa kunjungannya ke negara jiran itu Jun lalu.
Sebelum ini juga, kapal yang dikaitkan dengan 1MDB itu telah ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.
Mahathir juga berkata, mana-mana pembida berminat untuk membeli kapal mewah bernilai RM1 bilion itu boleh melihat gambar yang diambil oleh jurukamera pihaknya.
“Ada lif yang cantik turun dan naik, orang tua macam saya yang tidak boleh naik tangga kena guna lif, lif yang menakjubkan, kita tak boleh lihat kabelnya.
“Perabot pula adalah istimewa khas untuk kapal ini, saya tak pernah lihat perabot macam itu di mana saja.
“Biliknya juga sangat menakjubkan khususnya bilik utama di mana kita boleh tidur di atas katil dengan melihat langit, kalau panas boleh tutup,” katanya.
Katanya lagi, kunjungan beliau hampir sejam setengah itu turut memberi gambaran bahawa banyak kelengkapan yang tidak pernah dilihat orang ramai dipasang dalam kapal mewah berkenaan.
“Apa sahaja yang boleh dicabut ada di sana, dan banyak benda yang kita tidak pernah fikirkan juga ada di sana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette