KAJANG – Minda golongan mahasiswa kini sedang dirobek jati diri dan pegangannya apabila masalah utama negara tidak lagi diambil kisah.
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Azam Asri berkata, golongan itu semakin lalai dengan dunia hiburan dan hanya mahu menuntut hak dan kehendak mereka sahaja.
Jelas beliau, sebaliknya golongan mahasiswa tidak mahu memikirkan sumbangan yang dapat diberikan kepada negara.
“Mahasiswa secara umum tidak merasai kedaulatan negara yang diancam dan semangat patriotisme dipandang sebagai agenda yang tidak penting.
“Jati diri semakin dihakis dengan budaya materialistik dan fahaman-fahaman yang liberal seperti Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT).
“Selain itu, sejarah komunis pula cuba diubah dengan naratif yang baik adalah bentuk kerisauan berkenaan fahaman yang dimiliki mahasiswa atau anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Majlis Minum Petang Anak Bangsa di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Dr. Mohd Ghani Bin Mohd Yusof.
Mengulas lanjut, Azam berkata, sekiranya dua tokoh mahasiswa lalu iaitu Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Syeikh Tahir Jalaludin berada pada zaman hari ini, pasti mereka membuat sesuatu untuk menyelesaikannya kerana masa depan negara terletak di tangan mahasiswa.
Beliau menegaskan, sudah sampai masanya mahasiswa untuk mengambil peranan memimpin golongan anak muda ke arah pembentukan negara yang lebih baik.
“PEMBINA ingin mengajak mahasiswa dan juga masyarakat untuk memiliki nilai yang perlu ada pada negarawan iaitu meletakkan agenda pembangunan negara melebihi daripada agenda parti dan persatuan,” katanya. – MalaysiaGazette