Home Politik PPBM bakal dilancar di Sarawak

PPBM bakal dilancar di Sarawak

Dr Mahathir
Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan dilancarkan di Sarawak ekoran permintaan hebat yang diterima daripada rakyat negeri itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pada masa ini parti berkenaan telah menerima hampir 30,000 ahli dan jumlah dijangka bertambah.

“Banyak pihak di Sarawak berminat nak sertai Bersatu dan sekarang sudah ada hampir 30,000 anggota dan kita akan ada usaha untuk lancar parti ini di Sarawak untuk menentukan pemimpin parti di Sarawak.

“Kita terima semua permintaan untuk menjadi ahli parti Bersatu,” katanya yang juga Pengerusi PPBM pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan tertinggi parti itu di sini malam tadi.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Mahathir memberi gambaran terhadap penyakit yang dialami Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekarang ini menjalani kimoterapi seperti penghidap kanser.

Katanya, Presiden PPBM itu berkemungkinan menerima rawatan dalam tempoh yang panjang.

“Beliau mungkin mempunyai rawatan susulan dan akan menjalani kimoterapi, “katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata ketika lawatannya bertemu dengan Muhyiddin beliau mendapati ahli Parlimen Pagoh itu berada dalam keadaan yang sihat.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Singapura ekoran menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bahagian pankreas.

Beliau mengambil cuti sejak 12 Julai lalu susulan rawatan berkenaan dan dijangka bertugas semula dalam tempoh sebulan. – MalaysiaGazette