Home Utama ADAM50 tidak diteruskan?

ADAM50 tidak diteruskan?

PNB
Permodalan Nasional Bhd.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) sedang mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan tabung Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) atau sebaliknya.

Perkara itu sedang dalam peringkat kajian PNB dan pengurus unit amanahnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sebelum ia dibawa ke peringkat lembaga pengarah.

Sumber-sumber bagaimanapun berkata, terdapat kemungkinan besar ADAM50 tidak diteruskan memandangkan kekangan dana dari kerajaan.

ADAM50 diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2018.

Bagi skim itu, semua bayi warga negara Malaysia, yang lahir dalam tempoh masa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 akan diberikan RM200 untuk dikreditkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) bagi bayi bukan Bumiputera.

Sebanyak RM100 juta setahun dijangka dibelanjakan bagi pembiayaan ADAM50, berdasarkan anggaran RM200 bagi setiap 500,000 bayi yang dilahirkan dalam setahun di negara ini.

Objektif utama ADAM50 adalah untuk menggalakkan budaya simpanan dan pelaburan rakyat Malaysia daripada seawal usia baru lahir, dengan pemberian unit insentif percuma sebagai modal pelaburan permulaan.

Sebelum ini, bekas Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ADAM50 akan diteruskan oleh PNB walaupaun berlaku perubahan dalam kepimpinan pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun, Abdul Wahid telah meninggalkan PNB dan jawatannya telah digantikan oleh Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Sumber-sumber berkata, setakat ini ADAM50 masih dibuka sehingga perkembangan baharu akan dimaklumkan selepas lembaga pengarah bermesyuarat tidak lama lagi.

Meskipun pemberian RM200 diberikan secara percuma, difahamkan ADAM50 tidak mendapat sambutan dalam kalangan ibu bapa, walaupun pelbagai promosi dilaksanakan. – MalaysiaGazette