Home Nasional Banyak kes HIV libatkan golongan LGBT

Banyak kes HIV libatkan golongan LGBT

Datuk Dr Suhaini Kadiman
Datuk Dr Suhaini Kadiman

KUALA LUMPUR – Lebih 50 peratus daripada kes baru HIV yang direkodkan pada 2017 berpunca daripada aktiviti homoseksual dan biseksual.

Perkara itu didedahkan Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Datuk Dr Suhaini Kadiman yang memberitahu, jumlah tersebut merupakan 14 kali ganda lebih tinggi berbanding individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah melalui suntikan.

Menurutnya, kajian yang diambil daripada Kementerian Kesihatan itu menunjukkan kadar kes melibatkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) meningkat dengan mendadak setiap tahun daripada hanya 63 kes pada tahun 2000 kepada 1,697 kes pada tahun 2017.

“Maka Papisma ingin menzahirkan sokongan kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pengiktirafan LGBT. Buat masa ini golongan tersebut tiada masalah mendapat rawatan, pendidikan, pemilikan harta dan kerakyatan di Malaysia.

“Maka tiada sebabnya mereka perlu satu pengiktirafan khas. Hakikatnya mereka amalkan perkara yang melanggar tabii fitrah manusia dan melampaui batas semua agama dan norma masyarakat.

“Mereka melanggar norma manusia namun inginkan majoriti rakyat Malaysia menerima mereka sebagai ‘normal’ pula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Suhaini berkata, mengiktiraf LGBT hanya menggalakkan mereka meneruskan kehidupan berisiko tinggi serta menambahkan jumlah golongan tersebut.

Ujarnya, usaha pendekatan memberikan kesedaran kepada mereka selari dengan kaedah pencegahan telah terbukti sebagai kaedah paling berkesan di samping kos perubatan yang rendah.

“Golongan LGBT perlu terlebih dahulu mengiktiraf diri dan menyedari bahawa mereka memerlukan rawatan.

“Dalam masa sama, masyarakat wajib beri sokongan dan turut sama bantu mereka kembali kepada fitrah,” ujarnya. – MalaysiaGazette