Home Nasional KP Kesihatan jawab doktor tegur Marina

KP Kesihatan jawab doktor tegur Marina

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengambil maklum mengenai seorang doktor yang menyatakan pendiriannya berkenaan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dalam laman Facebooknya baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian itu berpegang pada prinsip tidak ada diskriminasi ke atas mana-mana agama, bangsa mahupun kumpulan masyarakat dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan.

Beliau memberi respon berhubung seorang pengguna Facebook membidas Datin Marina Mahathir berikutan sikapnya yang mahu agar hak kesamarataan diberi kepada golongan LGBT.

Pengguna laman sosial berkenaan yang juga seorang doktor perubatan, Dr. Nur Ilyani Mohamed menerusi statusnya turut mengemukakan beberapa persoalan berhubung tindakan Marina yang dibimbangi akan mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dengan perbuatan songsang.

“Saya adalah seorang doktor perubatan dan saya tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas apatah lagi songsang.

“Adakah anda bersetuju kini golongan yang mendominasi carta penghidap HIV adalah di kalangan komuniti LGBT?

“Sehingga kini, walaupun pesakit yang hadir mendapatkan rawatan dari saya tergolong dari kalangan LGBT, saya tetap melayan mereka sebagai pesakit dan memberikan rawatan yang terbaik buat mereka. Apatah lagi jika mereka berada di hujung usia. Maka, hak apakah yang anda sedang perjuangkan?” soal Dr. Nur Ilyani.

Dr. Nur Ilyani turut melemparkan pertanyaan kepada Marina sekiranya beliau bersetuju darah yang didermakan oleh golongan LGBT diberi kepada salah seorang ahli keluarganya jika memerlukan. – MalaysiaGazette