Home Nasional Lebih 80% pengasuh tidak berdaftar di negara ini – Wan Azizah

Lebih 80% pengasuh tidak berdaftar di negara ini – Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra bersama kanak-kanak taska yang hadir pada Sambutan Hari Taska Peringkat Kebangsaan 2018 yang bertemakan 'Equality' bertempat di IOI City Mall, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 12 OGOS 2018

PUTRAJAYA – Perkhidmatan pengasuhan kanak-kanak ketika ini sedang berdepan dengan cabaran kekurangan pengasuh berdaftar, sekaligus memberikan implikasi terhadap jumlah taska yang telah berdaftar.

Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), data terkumpul sehingga Jun 2018, jumlah pengasuh kanak-kanak yang berusia antara 0 sehingga 4 tahun di taska adalah seramai 16,873.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya seramai 3,173 orang iaitu sebanyak 18.81 peratus pengasuh sahaja mempunyai kelayakan minimum iaitu lulus Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata Negara (KAP) dan baki seramai 13,700 tiada kelayakan.

Kebimbangan itu diluahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang berkata, kekurangan ini sebenarnya akan memberi kesan terhadap jaminan kualiti dan keselamatan kanak-kanak.

“Ketersediaan Taska adalah penting bagi menyediakan sistem sokongan kepada ibu bapa yang bekerja dalam menguruskan anak-anak mereka semasa tempoh mereka keluar bekerja. Aksesibiliti terhadap Taska membolehkan peningkatan golongan wanita atau ibu berkerjaya sekaligus jana pendapatan keluarga dan serta negara.

“Namun demikian apa yang membimbangkan, industri ini hadapi kekurangan pengasuh berdaftar. Ketika ini negara memerlukan sekurang-kurangnya 38,333 buah taska tetapi statistik pendaftaran hanya 4,302 berdaftar atau 11.22 peratus sahaja.

“Jumlah ini sebenarnya menunjukkan kekurangan yang amat jelas dari aspek keperluan dan ketersediaan taska di negara kita. Kekurangan bilangan pengasuh berkelayakan serta jumlah taska berdaftar memberi implikasi terhadap jaminan kualiti serta keselamatan anak-anak kita,” ucapnya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan Hari Taska 2018 dengan tema ‘Equality’ anjuran Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) bersama Persatuan Penguasaha Taska & Tadika Putrajaya serta Hulu Langat di IOI City Mall di sini Hari ini.

Dalam pada itu, Wan Azizah yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya memandang serius tentang kes-kes kemalangan melibatkan kanak-kanak di taska dan rumah pengasuh ketika ini.

“Kita ketika ini sedang berusaha untuk meningkatkan keselamatan dan kualiti perkhidmatan taska yang diberikan. Pada masa sama, kita juga sedang meneliti keperluan untuk memurnikan Akta dan Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak disesuaikan mengikut keperluan serta kepada keadaan semasa.

“Isu dasar dan operasi Taska akan membawa implikasi terhadap kualiti pengasuhan serta didikan awal kanak-kanak yang akhirnya membawa kesan kepada keselamatan kanak-kanak di Taska. Setiap daripada ini perlu ditangani bagi menjamin kualiti, keselamatan secara menyeleruh,” tegasnya. – Malaysia Gazette