Home Politik Jangan bawa perangai buruk PKR ke dalam Pakatan Harapan

Jangan bawa perangai buruk PKR ke dalam Pakatan Harapan

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menempelak beberapa pemimpin PKR yang mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penggantinya.

Menurut beliau, rakan-rakan dalam PKR wajar menjadi lebih beradab dalam kata-kata mereka terhadap pemimpin parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

“Dalam keghairahan mencari jawatan dalam parti, berbicaralah mengenai hal ehwal parti sendiri dan jangan memfitnah pemimpin parti lain.

“Tuduhan liar dan fitnah mungkin budaya orang lain tetapi kami dalam Bersatu diajar oleh Tun Mahathir untuk menghormati semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan. Dalam kami menghormati persahabatan yang dibina, janganlah pula ada pemimpin parti lain yang celupar memfitnah  semata-mata kerana nafsu mahu mengejar jawatan dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid mempertahankan dakwaannya berhubung rancangan menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir.

Dakwaannya itu dibuat Abdullah Sani dalam program kempen pemilihan PKR di Seremban dan Johor Bahru.

“Undi Rafizilah…undi pasukan ini. Apabila Rafizi dan Anwar dalam satu pasukan, proses (Anwar menjadi PM) akan berjalan,” katanya.

Mengulas mengenai itu, Wan Saiful Wan Jan berkata, kepimpinan tertinggi PKR harus bertegas bagi memastikan ahli-ahlinya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menggoncang kekuatan PH.

“Perangai buruk tidak berakhlak ini bukan budaya yang kita mahu bentuk dalam gabungan Pakatan Harapan. Jangan heret orang lain masuk ke dalam perpecahan teruk parti sendiri,” katanya lagi. -MalaysiaGazette