Home Ekonomi Jangan urus negara seperti PKS

Jangan urus negara seperti PKS

Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Menguruskan sebuah negara bukan seperti mengendalikan sebuah syarikat awam atau industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sehubungan itu, jangan melihat pengurusan ekonomi negara dalam skop yang kecil sebaliknya perlu dilihat dalam skala besar.

Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jika ada masalah, duduk dan cuba selesaikan dengan betul supaya para pelabur luar mempunyai keyakinan tinggi terhadap Malaysia.

Jelas beliau, keyakinan itu merupakan faktor utama yang penting untuk menarik pelabur-pelabur luar, selain pengukuhan fundamental dan strategi dalam membangunkan negara.

Keyakinan itu membabitkan polisi, kestabilan dan dasar-dasar ke hadapan dan sebagainya.

“Sebab itu, walaupun kita pernah kerugian dalam mata wang sebanyak RM30 bilion dalam tetapi disebabkan negara diurus dengan baik, ekonomi Malaysia mampu berkembang.

“Kalau kita gagal memberi keyakinan, susahlah hendak membangunkan ekonomi negara,” katanya dalam wawancara bersama UMNO Online malam tadi.

Beliau yakin ekonomi negara mampu berkembang jika polisi-polisi dilaksanakan dengan baik.

Kata Johari, pada masa sekarang saiz ekonomi Malaysia adalah RM1.3 trilion dan 16.5 peratus atau RM234 bilion digunakan untuk membangunkan ekonomi negara.

“Jika angka ini (saiz ekonomi) ini kita boleh kembangkan kepada RM2 trilion dalam tempoh lapan tahun dan dengan peratusan pendapatan sama, sudah tentu pendapatan negara akan meningkat kepada RM350 bilion.

“Gunakannya untuk membangunkan ekonomi, sudah tentu lebih ramai orang mendapat manfaat. Tetapi uruskanlah negara baik-baik, kenalah ada sistem cukai yang efisen supaya lebih banyak cukai dapat dikutip.

“Jangan bila ekonomi berkembang, ekonomi gelap pun berkembang kerana ia tidak memberi gambaran pendapatan kepada kerajaan.

“Tetapi kalau sistem efisien, ekonomi berkembang dari RM1.3 trilion kepada RM2 trilion, cukai dikutip, ekonomi gelap tertinggal. Kerajaan dapat duit dan bangunkan negara, barulah ekonomi berkembang,” katanya. – MalaysiaGazette