KUALA LUMPUR – Nga Kor Ming diminta jangan biadap selepas mengkritik bintang pecah 14 dalam logo MCA serupa durian.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menuntut Presiden DAP Perak itu memohon maaf.
Ka Siong berkata, kosep bintang pecah 14 MCA berasal daripada bendera Malaysia – Jalur Gemilang.
Bintang pecah 14 itu, katanya, melambangkan perpaduan 13 negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Percakapan bahawa bintang pecah 14 serupa durian ini memang menunjukkan bahawa dia tidak hormat akan bendera dan negara kita.
“YB Nga, jangan biadap. Sila minta maaf!,” kata Ka Siong dalam kenyataannya.
Kor Ming dalam satu sidang media Tower Regency Ipoh pada 11 Ogos lalu menyamakan lambang MCA sebagai durian.
“MCA tidak mahu menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana lambang BN sudah ‘busuk”.
“Dia (MCA) nak pakai lambang ‘duriannya’ dia sendiri. Lambang berbentuk durian macam durian Musang King,” kata Kor Ming.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu membuat kenyataan berkenaan selepas MCA mengumumkan akan menggunakan logo parti tersebut dalam Pilihan Raya Kecil Balakong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Eddie Ng Tien Chee. – MalaysiaGazette