Home Nasional Siti Kasim, Marina punca amalan LGBT menjadi-jadi? – GMIM

Siti Kasim, Marina punca amalan LGBT menjadi-jadi? – GMIM

GMIM
Timbalan Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Salamiah Md Nasir (kiri) bercakap pada sidang media berkenaan isu LGBT di Pejabat Muafakat, Taman Melawati, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 13 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Isu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang menjadi barah dalam masyarakat ketika ini didakwa berpunca akibat kelantangan aktivis-aktivis beragama Islam yang mendokong amalan songsang itu.

Timbalan Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Salamiah Md. Nasir mendakwa, aktivis seperti Siti Kasim dan Datin Marina Mahathir tidak sewajarnya membela golongan tersebut kerana ia mencemarkan Islam, sekali gus kredibiliti mereka sendiri sebagai penganut agama itu.

“Kenapa mereka mesti membela aktiviti LGBT ini sedangkan bukan sahaja Islam melarang sebaliknya agama lain punĀ  menentang perbuatan itu.

“Jadi, kenapa kita sebagai umat Islam seperti Marina Mahathir, ada lagi Siti Kasim nak menyokong perkara-perkara yang tidak berfaedah kepada orang Islam ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Salamiah yang mempersoalkan perkara itu berkata, adakah disebabkan mereka (Siti Kasim dan Marina) seorang wanita boleh menggalakkan perkara-perkara terkutuk oleh golongan LGBT.

Beliau yang merujuk kepada sikap golongan LGBT melibatkan mak nyah turut menegaskan, kedua-dua individu berkenaan sepatutnya mengajak golongan terbabit kembali ke pangkal jalan serta pulang ke fitrah yang asal.

Katanya, jika itu yang berlaku GMIM yang dianggotai lebih 30 pertubuhan wanita Islam akan turut menyokong dari belakang tindakan mereka itu.

Dalam perkembangan sama, Salamiah berkata, pihaknya gusar terhadap ura-ura akan berlangsung satu pesta membabitkan golongan terbabit yang dikatakan akan berlangsung di Pulau Pinang pada 31 Ogos ini.

Katanya, meskipun iklan bagi mempromosikan acara tersebut telah diturunkan namun penganjuran program tersebut masih belum dibatalkan.

Justeru katanya, program tersebut perlu dibatalkan sebagai menghormati bulan kemerdekaan yang membawa makna sangat besar dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

“Kita nak program itu dibatalkan sebab tidak ada kepentingan.

“Jika puak-puak LGBT ini mahu mengadakan perarakan, adakah itu kebanggaan kita?

“Kerajaan kena tegas dalam perkara ini serta dapat menegakkan syariat Islam,” tegasnya. – MalaysiaGazette