Home Akhbar Cina UEC pasti diiktiraf dalam lima tahun

UEC pasti diiktiraf dalam lima tahun

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Kerajaan pasti akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam lima tahun kerana DAP akan menghadapi kesukaran untuk menyertai pilihan raya akan datang jika isu itu tidak dimuktamadkan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, walaupun berdepan halangan pada masa ini, Nie Chieng bagaimanapun tetap percaya dan optimis bahawa UEC akan diiktiraf dalam tempoh lima tahun.

“Jika kerajaan Pakatan Harapan sengaja melengah-lengahkan atau memasukkannya semula dalam manifesto pilihan raya seterusnya, maka DAP tidak akan dapat bertanding dalam pilihan raya,” katanya dalam wawancara dengan Nanyang Siang Pau.

Beliau berkata, pengiktirafan UEC merupakan perjuangan jangka panjang DAP.

Katanya, sesetengah wakil rakyat parti itu malahan memberitahu mereka sanggup meletak jawatan jika janji berkenaan tidak dikotakan kerajaan.

“Jika UEC tidak diiktiraf, maka saya juga tidak dapat meneruskan kerjaya politik yang ada.

“Jika Pakatan Harapan tidak dapat mengotakan janjinya, orang ramai boleh menggulingkan kami pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Menurutnya, kerajaan dapat mengiktiraf UEC dalam tempoh lima tahun jika Menteri Pendidikan, Maszlee Malik diberi masa mencukupi.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan telah meminta Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) untuk menyediakan bahan berkenaan UEC dalam bahasa Melayu.

Bahan itu, ujar Nie Ching, bertujuan memberi penjelasan kepada masyarakat Melayu mengenai sekolah swasta Cina dan UEC serta mengelakkan salah faham.

Dalam perkembangan lain, Nie Ching berkata, kerajaan akan membina sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC)  berdasarkan keperluan.

Katanya lagi, walaupun tidak ingin melihat pengurangan jumlah SRJKC, tetapi penggabungan sekolah yang kecil dan memindahkan sumber perguruannya ke tempat yang memerlukan dapat menjimatkan kos.

“Dengan membina sekolah baharu secara sistematik dan mengikut keperluan, penggabungan dan penutupan sekolah Cina yang kecil tidak akan lagi menjadi isu.

“Isu sekolah kecil ini bukan sahaja melibatkan SRJKC tetapi juga sekolah aliran lain, Kementerian Pendidikan justeru perlu memikirkan cara untuk menyelaras, memindah atau menggabungkan sekolah terbabit,” katanya.

Sementara itu, sebagai ibu yang berjauhan dengan tiga anak kerana perlu bertugas di Putrajaya, Nie Ching berkata, beliau berharap isu penempatan dan pemindahan guru dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

Kata Nie Ching, isu itu merupakan satu keutamaannya kerana beliau mahu melihat para cikgu hidup bersama ahli keluarga masing-masing.