Home Ekonomi Fitch Ratings kekalkan taraf A- kepada IDR Malaysia

Fitch Ratings kekalkan taraf A- kepada IDR Malaysia

KLCC
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Fitch Ratings mengekalkan penarafan Ingkar Penerbit (IDR) Matawang Asing Jangka Panjang Malaysia pada A- dengan Tinjauan Masa Hadapan Stabil seperti yang dibuat pada 11 Mei lalu, beberapa hari selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tampuk pemerintahan.

PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan menumbangkan parti Barisan Nasional yang telah menjadi pemerintah sejak 60 tahun lalu.

Menurut agensi itu, IDR Matawang Asing Jangka Panjang Malaysia disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta kedudukan pinjaman hutang luar bersih yang dibina dari lebihan akaun semasa.

Kekuatan itu mengimbangi hutang kerajaan dan sektor swasta yang semakin meningkat, pendapatan per kapita yang rendah dan skor urustadbir yang relatif dengan negara-negara jiran.

“Kerajaan PH yang memenangi PRU-14 pada Mei lalu telah melaksanakan banyak janji-janji pilihanraya mereka terutama mengenai pembatan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan merancang untuk meneruskan subsidi bahan api walaupun mereka berjanji kali ini ia akan dilakukan lebih bersasar.

“Fitch melihat langkah-langkah tersebut sebagai negatif kepada profil hutang. Bagaimanapun, kerajaan berhasrat untuk melaksanakan langkah-langkah yang mampu mengimbangi isu tersebut dan berhasrat untuk mengawah defisit kerajaan persekutuan.

“Ada risiko untuk mencapai sasaran tersebut seperti pertumbuhan yang lebih perlahan dari apa yang Fitch jangkakan.
“Ini akan menghadkan ruang untuk mengurangkan pemotongan perbelanjaan selain melewatkan langkah-langkah memperolehi pendapatan seperti yang telah dirancang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fitch Ratings menjangkakan defisit akan terus menyusut kepada sekitar 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 bersandarkan beberapa unjuran asas seperti rasionalisasi subsidi, pemotongan perbelanjan modal yang lebih banyak, langkah mendapatkan pendapatan baharu serta pematuhan cukai yang lebih baik.

Hutang kerajaan pusat pula dijangka merosot kepada sekitar 59 peratus berbanding KDNK menjelang 2020 walaupun pengurangan itu akan menjadi lebih cepat sekiranya kerajaan memilih untuk menjual aset awam dan menggunakan hasil berkenaan untuk membayar hutang.- MalaysiaGazette