PETALING JAYA – Pemimpin-pemimpin MCA hanya mampu menggaru kepala apabila ditanya mengenai punca parti itu tidak menghadiri mesyuarat tertinggi Barisan Nasional (BN) pada Isnin.
Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun ketika dihubungi Sinchew Daily, mengakui bahawa beliau tidak sedar apa yang sedang berlaku.
Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie juga terpinga-pinga dan bertanya sama ada parti lain telah menghadiri mesyuarat itu.
Namun begitu, Seai Kie menjelaskan, kesibukan tiga pemimpin teratas MCA mungkin menyebabkan parti itu tidak dapat menghadiri mesyuarat BN.
“Hanya presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung dapat mewakili MCA dalam mesyuarat BN.
“Pada ketika timbalan presiden iaitu Datuk Seri Wee Ka Siong sibuk di Dewan Rakyat, masing-masing presiden iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai dan setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan sedang berada di luar negara,” katanya.
Menurutnya, notis mesyuarat pada saat-saat terakhir mungkin juga menyebabkan MCA tidak dapat mengaturkan salah satu daripada tiga pemimpin tertingginya menghadiri mesyuarat.
MCA sebelum ini menyatakan mahu menggunakan lambang parti berbentuk bintang dalam Pilihan Raya Kecil di Balakong dan bukannya lambang dacing BN. Parti itu bagaimanapun kekal sebagai parti komponen BN.
Penggunaan lambang bintang turut mencetuskan pertikaman lidah antara Ka SiongĀ yang juga Ahli Parlimen Ayer Itam dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang menyebut MCA menggunakan “lambang durian” dalam Pilihan Raya Kecil Balakong.