LONDON – Willian mendakwa dia tidak akan kekal bersama the Blues sekiranya Antonio Conte masih mengemudi Chelsea.
Bintang antarabangsa Brazil itu menjadi rebutan utama Barcelona dan nyaris bersetuju dengan penghijrahan ke Old Trafford selepas dipujuk Jose Mourinho.
Sebelum ini tercetus masalah di antara Willian dan Conte di Stamford Bridge sehingga Willian lambat melapor diri untuk latihan jelajah pramusim.
Chelsea mengenepikan tiga bidaan lumayan dari the Catalans untuk pemain berusia 29 tahun itu.
Sejak menyertai Chelsea dari Anzhi Makhachkala pada 2013, Willian telah menjaringkan 44 gol dalam 238 perlawanan.
Willian memilih untuk kekal di Stamford Bridge selepas Conte digantikan dengan Maurizio Sarri pada Julai lalu.
Ditanya sama ada dia kekal bersama Chelsea sekiranya Conte masih membimbing pasukan.
Kata Willian: “Tidak, jangan harap saya kekal dengan Chelsea.
“Saya ada di sini kerana mahu bermain untuk Chelsea. Saya hanya akan tinggalkan kelab jika Chelsea tidak memerlukan khidmat saya,” katanya.
Chelsea memulakan kempen Liga perdana Inggeris Sabtu lalu dengan menang selesa 3-0 ke atas Huddersfield.
The Blues berdepan Arsenal di gelanggang sendiri dan Willian yakin menamatkan badi enam aksi tanpa menang ketika berhadapan the Gunners sebelum ini.
“Saya rasa kita mempunyai peluang terbaik untuk menang ke atas the Gunners sebab kita ubah corak permainan di bawah bos baharu.
“Kami diberi kebebasan bergerak dan bermain bola sepak dengan gembira tetapi bertanggungjawab.
“Ini cukup untuk kami mencetuskan masalah kepada Arsenal nanti,” katanya. – MalaysiaGazette