KUALA LUMPUR – Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan diteruskan tetapi beberapa penambahbaikan akan dibuat bagi memperkasakan fungsi dan peranannya.
Teraju, sebuah unit strategik dalam pembangunan agenda bumiputera ditubuhkan pada 2011 merupakan salah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.
Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perkara itu dilakukan bagi memastikan pembangunan ekonomi bumiputera ditambah baik dan diperkemaskan supaya lebih menyeluruh di samping membolehkan penyertaan bumiputera kekal signifikan dalam pembangunan ekonomi negara.
Tambah beliau, kerajaan kekal komited dalam memperjuangkan agenda bumiputera dan tumpuan khusus akan diberikan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan isi rumah berpendapatan sederhana (M40).
“Dalam hal ini, pelbagai dasar baharu dan sedia ada sedang dikaji dan akan ditambahbaik berpandukan kepada keperluan semasa dan cabaran ekonomi dunia. Ini bagi memastikan pembangunan ekonomi.
“Bumiputera yang lebih mampan dan lestari dapat diwujudkan sekaligus meningkatkan keupayaan skala ekonomi bumiputera untuk lebih berdaya saing,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) dan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong)
Menurut Azmin, pelaksanaan dasar baharu dan dasar sedia ada akan diterjemah dalam strategi, inisiatif dan hala tuju Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang sedang dirangka oleh kerajaan.
Katanya, hala tuju baharu yang merangkumi kepentingan bumiputera termasuk kumpulan isi rumah B40 dan M40 itu akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini. – MalaysiaGazette