Home Utama Menteri kalau terlibat rasuah, kita akan pecat – PM

Menteri kalau terlibat rasuah, kita akan pecat – PM

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melambai kepada para media ketika tiba untuk Town Hall bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 OGOS 2018.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri sekali lagi mengulangi amaran kepada semua menteri dan timbalan menteri sekiranya terlibat dalam gejala rasuah, maka kerajaan tidak akan teragak-agak memecat mereka.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan berkompromi dengan gejala rasuah yang cuba dibasmi oleh beliau.

“Pemimpin sekarang sudah diberi amaran. Kalau terlibat dengan rasuah, dia akan dibuang.

“Di negara China, kalau terlibat dengan rasuah mereka akan ditembak mati, tapi mereka (Kabinet) tidak setuju untuk tembak mati.

“Kalau pegawai kerajaan tunjuk teladan yang tidak baik, tiada lagi kes tutup. Kalau mereka buat salah kita akan tolak kerana kita nak tunjuk teladan yang baik,” katanya ketika menyampaikan amanat dalam Town Hall bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan Menteri Kabinet.

Ketika pertemuan kerajaan PH dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 10 Julai lalu, Dr Mahathir melahirkan harapan agar tiada seorang pun daripada mereka termasuk ahli Parlimen PH terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kakitangan awam harus menunjukkan taat setia kepada kerajaan memerintah.

Bagaimanapun katanya, pegawai kerajaan dinasihatkan supaya tidak terlalu taat kepada pemerintah sehingga sanggup melakukan jenayah.

“Dalam sistem kita PTD, tentera dan polis perlu setia kepada kerajaan hari ini yang dipilih rakyat tapi kesetiaan itu tidak sampai kepada melakukan jenayah.

“Kalau disuruh sembunyi bukti, lakukan jenayah kita kena tolak kerana ia bertentangan dengan undang-undang,” katanya. -MalaysiaGazette