KUALA LUMPUR – Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) masih dalam proses pengambialihan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Timbalan Menterinya Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, walaupun PR1MA yang diwujudkan pada 2013 bermatlamat membantu rakyat memiliki rumah mampu milik, malangnya ia tidak mencapai sasaran.
“Pada asalnya 1 juta unit rumah ditetapkan menjelang 2020 namun setakat ini hanya 16,000 unit atau 1.6 peratus sahaja disiapkan.
“Apa yang mencetuskan kemusykilan ialah untuk pembinaan 16,682 unit setakat ini, RM8 bilion dana dibelanjakan.
“Maka KPKT akan meneliti dimanakah masalah yang dihadapi PR1MA dan akan menstruktur semula,” katanya semasa menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, meskipun PR1MA masih dalam proses pengambilalihan oleh KPKT daripada penyeliaan JPM sepenuhnya, maklumat itu memberi gambaran kurang positif.
Malah katanya, kini sebanyak 130 projek PR1MA yang melibatkan lebih kurang 131,000 unit sedang dalam proses pembinaan.
“Sebanyak 268,000 unit telah diluluskan secara dasar namun semuanya akan dikaji semula secara terperinci,” katanya.
Malah kata beliau, kementeriannya juga telah mengadakan perbincangan dengan semua institiusi kewangan untuk memudahkan pinjaman perumahan kepada rakyat selain membolehkan dan melayakkan pembeli memiliki rumah.
Dalam perkembangan berkaitan beliau turut menjelaskan KPKT mengambil pendekatan mengkaji situasi perumahan yang relevan dengan negara ini.
“Kita juga melawat Singapura yang membina rumah flat yang dianggap konsep terbaik di Asia di samping kajian skim perumahan yang dilaksanakan di barat juga diteliti.
“Bagaimanapun perlu kita sedar konsep perumahan di Eropah tidak sesuai dikaji untuk rakyat di negara kita yang berkeluarga besar.
“Namun kita akan cuba mencari formula membina rumah yang lebih selesa dan salah satu lagi fakta yang perlu diambil kira ialah kerajaan persekutuan mengambil pendekatan cuba menurunkan kos pembinan bangunan mampu milik dengan dikecualikan cukai,” ujar beliau.- MalaysiaGazette