Home Utama Bung Mokhtar dakwa usul gantung dirinya tak wajar

Bung Mokhtar dakwa usul gantung dirinya tak wajar

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berpendirian tindakan kerajaan mengusulkan dirinya dihadapkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung kenyataan kontroversinya di Dewan Rakyat sebagai tidak wajar.

Jelasnya, isu sepatutnya tidak dipanjangkan kerana beliau telah membuat permohonan maaf dan menarik semula perkataan kasar yang digunakannya.

“Saya merasakan janggal sekali di Dewan Rakyat hari ini sebab kerajaan sendiri tidak mengiktiraf keputusan speaker. Kerajaan nak melangkaui speaker dalam Dewan Rakyat ketika ini.

“Tidak boleh sewenang-wenangnya sebuah kerajaan, pihak mana-mana pun melangkaui  keputusan speaker sehingga tidak menampakkan integriti Dewan Rakyat itu sendiri,” katanya ketika mengadakan sidang media hari ini.

Difahamkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dijangka akan membentangkan usul untuk merujuk Bung Mokhtar kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen hari ini.

Oleh itu, Bung Mokhtar dijangka berdepan penggantungan enam bulan kerana mencarut “Fxxx you” kepada Willie Mongin (Puncak Borneo-PH) ketika perdebatan Rang Undang-Undang Cukai Jualan dan Perkhidmatan 7 Ogos yang lalu.

Beliau mendakwa speaker bertindak berat sebelah dan tidak dirinya tidak diadili.

“Dan ini pada saya tak adil pada diri saya sendiri sebab banyak juga wakil-wakil rakyat daripada kerajaan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak senonoh, yang tidak sopan tetapi tidak pula diambil tindakan

“Kalau betul kerajaan nak ambil tindakan, pungut semua dalam hansard mana-mana wakil rakyat yang mengeluarkan ungkapan yang tidak baik dan buat usul sama-sama. Jangan pilih kasih, jangan berat sebelah.

“Mentang-mentang saya ini terlalu outspoken dan bukan di pihak mereka, mereka buat sesuka hati,” ujarnya. -MalaysiaGazette