Home Nasional Guna kata tidak sopan: Bung Moktar setuju mohon maaf

Guna kata tidak sopan: Bung Moktar setuju mohon maaf

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPURĀ – Usul Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk merujuk Ahli Parlimen (Kinabatangan-BN) Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, penangguhan itu dibuat selepas Bung Moktar bersetuju untuk meminta maaf secara terbuka pada mesyuarat akan datang.

“Mengikut peraturan mesyuarat 100 saya telah menerima permohonan daripada Yang Berhormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya usul Menteri di nombor 5 dalam aturan mesyuarat hari ini ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.

“Ini kerana difahamkan Yang Berhormat Kinabatangan telah bersetuju untuk meminta maaf atas keterlanjuran beliau menggunakan kata-kata kurang sopan ketika sesi perbahasan pada Selasa 7 Ogos 2018.

“Walaubagaimanapun Yang Berhormat Kinabatangan telah memohon kebenaran untuk meninggalkan majlis mesyuarat atas urusan mendesak dan berjanji akan membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam dewan pada mesyuarat akan datang,” katanya sebelum menangguhkan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut aturan mesyuarat hari ini, Zuraida selaku Ahli Parlimen (Ampang-PH) mencadangkan usul itu susulan Bung Moktar pada 7 Ogos lalu telah mengeluarkan perkataan biadap dan tidak sopan semasa perbahasan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018.

Tindakan Bung Moktar telah menyebabkan beberapa ahli Dewan Rakyat bangun membantah, bagaimanapun ahli Parlimen (Kinabatangan-BN) itu telah menarik balik perkataan yang disebut setelah teguran dibuat.

Zuraida dalam cadangan berkata Dewan Rakyat memandang serius perbuatan Bung Moktar dan beliau telah diberi amaran oleh Speaker pada 9 Ogos lalu dan akan diarahkan keluar Dewan jika mengulangi perbuatan tersebut.

Penggunaan perkataan yang kurang sopan (biadap) oleh Bung Moktar telah menyinggung Ahli-ahli Parlimen terutamanya wakil rakyat wanita kerana ianya mencemarkan prestij dan nama baik dewan yang mulia ini. – MalaysiaGazette