Home Utama Janji 100 hari: Gimik PRU semata-mata – Hadi Awang

Janji 100 hari: Gimik PRU semata-mata – Hadi Awang

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas hari ini mengkritik prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelang 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, janji yang dibuat oleh PH pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu hanya gimik politik semata-mata.

“Kempen 10 Janji 100 hari dalam Manifesto Pakatan Harapan adalah gimik PRU semata-mata. Termasuk juga janji yang tidak boleh ditunaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Hadi, semua janji yang ditawarkan oleh Dr Mahahtir ternyata tidak boleh ditunaikan biarpun tempoh 100 hari akan berakhir Sabtu ini.

Malah katanya, ia di luar jangkauan kerajaan PH dengan alasan tidak boleh dilaksanakan kerana situasi ekonomi negara tidak mengizinkan.

“Yang nyata tidak boleh ditunaikan janji itu dan di luar kemampuan masa seperti turunkan harga minyak serta merta, tangani inflasi serta merta.

“Menukar GST kepada SST tidak lebih kepada mencubit dengan tangan kanan, kemudian tukar dengan tangan kiri. Semuanya menindas rakyat,” katanya.

Awal hari ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini dilihat berada pada tahap antara 27 hingga 30 peratus sahaja.

Kata Tuan Ibrahim, kegagalan itu sekali gus melayakkan mereka menerima gred D disebabkan tidak dapat menunaikan 10 janji dalam tempoh 100 hari seperti yang termaktub dalam manifesto PRU-14. -MalaysiaGazette