KUALA LUMPUR – Melanjutkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) adalah bukti Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan serahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ahli Pasrlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH), ia merupakan salah satu tindak-tanduk Dr. Mahathir yang disifatkannya memberi bayangan bahawa beliau akan terus memegang jawatan tersebut.
Kenyataan Perdana Menteri di Tokyo sebelum ini dilihat tidak pernah menjelaskan kepada umum secara konkrit, juga secara tidak langsung memberi bayangan akan terus memegang jawatan tersebut.
“Jawapan itu adalah chemistry antara Anwar dengan Tun M sepanjang chemistry itu, itu jawapan dia.
“Dia (Dr. Mahathir) sendiri bila dia nak berhenti, bila nak serah jawatan, ini perjanjian konsensus hari ini pula berita dia sambung CEP dalam satu jangka masa lagi maksudnya apa, maksudnya tidak bersedia menyerahkan kepada Anwar jawatannya.
“Kenyataan dia yang saya marah di Tokyo. Dia kata selagi ada sokongan rakyat selagi itu dia pegang jawatan ini,” katanya di lobi Parlimen.
Selain itu tambahnya, kenyataan Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin sebelum ini bahawa melakukan peralihan kuasa pada pertengahan penggal adalah tindakan bodoh juga merupakan salah satu bukti berlakunya halangan untuk Anwar mendapatkan jawatan yang sebelum ini diuar-uarkan sebagai persetujuan di antara pemimpin Pakatan Harapan itu.
Beliau berkata demikian mengulas desakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Padang Serai, Khairul Anuar Ramli agar Abdullah perlu memohon maaf kepada Dr. Mahathir dan Daim dalam masa tujuh hari jika gagal buktikan dakwaannya sebelum ini.
Abdullah kemudiannya menganggap desakan itu hanya keluar daripada individu yang tidak faham politik.
“Orang yang bercakap soal kritikan ini semua orang yang tidak faham politik,” katanya.
Untuk rekod, Abdullah Sani baru-baru ini mendakwa Anwar akan menghadapi masalah mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir. – MalaysiaGazette