KUALA LUMPUR – Pas hari ini mengecam tindakan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu terhadap hukuman kepada dua pesalah hukuman sejenis di Dungun.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan menyifatkan tindakan Razali sebagai menghina mahkamah syariah.
“Mahkamah Syariah Terengganu adalah mahkamah yang sah daripada segi undang-undang digunakan oleh orang Islam sahaja, menghukum orang Islam yang didapati bersalah di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah.
“Dua orang ini telah mengaku salah di mahkamah dan mereka boleh dihukum oleh mahkamah,” katanya (Kota Bharu – Pas) pada sidang medianya di lobi parlimen hari ini.
Turut hadir pada sidang media Pas itu menunjukkan sokongan adalah Shahbudin Yahya (Tasek Gelugor – BN).
Untuk rekod, pada 2 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengenakan hukuman sebatan enam kali dan denda RM3,300 ke atas sepasang wanita kerana cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta di Dungun.
Insiden itu dilaporkan berlaku pada April yang lalu. Kedua-dua wanita 32 dan 22 tahun itu turut berdepan hukuman empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Sejurus itu timbul ketidakpuasan hati oleh peneraju Suhakam yang menyifatkan hukuman sebat dalam keadaan apa pun melanggar larangan mutlak penyeksaan dan hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghina di bawah undang-undang antarabangsa.
Justeru, Takiyuddin menggesa agar Razali menarik kembali kenyataannya dan membuat permohonan maaf.-MalaysiaGazette