KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk Pakatan Harapan (PH) meminta maaf kepada rakyat walaupun gagal melaksanakan janji 100 hari manifesto PRU-14, kata presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapun Azizah berkata, kerajaan itu sehingga kini berusaha memastikan kesemua manifesto dalam proses untuk ditunaikan kepada rakyat.
“No lah (apabila ditanya adakah sepatutnya PH perlu meminta maaf kepada rakyat kerana tidak dapat menunaikan semua manifesto PH). Janji dalam proses dilaksanakan.
“Saya tidak memberikan alasan sebab kami tidak mencapai sasaran tapi kami cuba dengan sedaya upaya.
“Memang tidak seperti yang kita harapkan namun kita sudah cuba sedaya upaya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu mengambil contoh pelaksanaan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah bermula minggu ini dan ia antara manifesto PH yang berjaya dilaksanakan.
“Sekurang-kurangnya di kementerian, saya sudah buat KWSP Suri. Itu saya sudah berjaya mempromosi dan dijalankan program itu,” tambahnya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong pula berkata, perkara yang patut diutamakan bukan manifesto dalam tempoh 100 hari sebaliknya hala tuju negara dalam pelbagai aspek yang dibawa oleh PH selepas memegang tampuk pemerintahan sejak 9 Mei yang lalu.
“Yang penting dalam 100 hari bukan apa dasar-dasar secara terperinci tetapi keseluruhan, adakah hala tuju kita betul dan saya rasa 100 hari ini kerajaan PH telah menunjukkan bahwaa hala tuju kita diterima oleh kebanyakan rakyat Malaysia dan hala tuju yang baik untuk negara kita.
“Saya rasa tiga bahagian, satu, pembaharuan, reformasi institusi itu saya rasa kerajaan PH telah mencapai banyak dalam 100 hari kedua satu ekonomi yang memihak rakayat dan bukannya segelintir golongan kecil yang korup itu,” tambahnya.
Sehingga kini, PH, katanya berjaya memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan skim KWSP untuk suri rumah. – MalaysiaGazette