Home Utama 35 peratus daripada janji PH sudah ditunaikan, kata PM

35 peratus daripada janji PH sudah ditunaikan, kata PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok hari ini untuk memulakan lawatan dua hari ke Thailand.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok hari ini untuk memulakan lawatan dua hari ke Thailand.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah merealisasikan 21 daripada kesemua 60 janji yang ditawarkan semasa PRU-14, ujar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ujarnya, semua janji yang ditawarkan itu adalah cerminan kerajaan dalam membebaskan Malaysia daripada isu rasuah dan menentukan tadbir urus yang baik.

“Usaha ini memerlukan satu rancangan bersepadu yang drastik dan menyeluruh. Komitmen Kerajaan mencapai prinsip mahu Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya kerana rasuah,” katanya dalam dalam Perutusan Khas Perdana Menteri sempena 100 hari kerajaan Pakatan Harapan malam tadi.

Antara perkara yang telah dilaksanakan setakat ini adalah mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), Mmenubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), menggubal Pelan Anti Rasuah Nasional, menubuhkan undang-undang yang membolehkan tindakan punitif diambil terhadap pegawai-pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran kepada dana Kerajaan akan digubal bagi tujuan ini.

“Penubuhan GIACC adalah bagi membolehkan usaha menyelamatkan Malaysia daripada rasuah dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan serta menyeluruh sementara Pelan Anti Rasuah Nasional adalah bagi membolehkan isu-isu governans, integriti dan antirasuah ditangani secara menyeluruh,” jelas Mahathir.

Begitu juga dalam menggubal Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik, menggubal dasar mengenai pemberian hadiah dan derma kepada anggota pentadbiran awam yang akan turut melibatkan menteri sehingga setiausaha-setiausaha politik, katanya.

Kerajaan juga memutuskan agar anggota pentadbiran (menteri dan timbalan menteri) tidak lagi mengeluarkan surat sokongan ke atas mana-mana projek atau urusan permohonan.

Bercakap mengenai pengiystiharan harta, Mahathir berkata, garis panduan kearah itu sedang dipinda di mana tafsiran anggota pentadbiran diperluas supaya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga perlu mengisytiharkan harta.

Turut difikirkan, katanya, penambahbaikan mekanisme penerimaan hadiah, keraian dan upahan oleh anggota pentadbiran.

Dalam pada itu,  Mahathir berkata, kerajaan juga memenuhi janji tidak akan menyekat kebebasan bersuara dan media.

“Namun kebebasan ini tidak termasuk usaha dan laporan untuk menghasut kaum-kaum supaya bermusuh sehingga tercetus huruhara dan rusuhan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette