Home Utama Anwar akui ada pihak cuba lagakannya dengan Tun M

Anwar akui ada pihak cuba lagakannya dengan Tun M

Anwar Ibrahim
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat perjumpaan bersama Budayawan Negara di pejabat peribadi beliau di Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2018

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan wujud kumpulan yang cuba melaga-lagakan beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, Ketua Umum PKR itu menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa beliau kononnya tidak sependapat dengan Perdana Menteri.

“Kami bersama-sama cukup lama. Kita berjuang bersama-sama,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan budayawan di pejabat peribadinya di sini hari ini.

Anwar turut menafikan dakwaan sesetengah pihak beliau tidak sabar-sabar mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Mahathir.

Katanya, pada tahun 1990-an, beliau juga menajdi mangsa spekulasi menjadi perdana menteri kelima.

Bekas timbalaan perdana menteri itu turut memberitahu beliau tidak sabar kembali ke Dewan Rakyat dan menawarkan diri untuk pembaharuan Parlimen manakala Mahathir terus memimpin kerajaan.

Katanya, beliau akan menjaga Parlimen dan menguruskan sebarang pembaharuan meskipun tidak berada dalam kerajaan.

“Sekiranya saya membuat keputusan untuk menyertai parlimen, bagi saya bekerja di bawah pembaharuan Parlimen dan perdana menteri boleh memimpin hal ehwal negara,” katanya. – MalaysiaGazette