Home Utama Pertandingan dua penjuru PRK Seri Setia

Pertandingan dua penjuru PRK Seri Setia

Calon PKR, Halimey Abu Bakar (kiri) berbual bersama calon PAS, Halimah Ali selepas menyerahkan borang penamaan calon pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2018
Calon PKR, Halimey Abu Bakar (kiri) berbual bersama calon PAS, Halimah Ali selepas menyerahkan borang penamaan calon pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2018

PETALING JAYA – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 September ini menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Pas.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain selepas menerima kertas pencalonan daripada Halimey Abu Bakar dari PKR jam 9.10 pagi dan Dr Halimah Ali (Pas) jam 10.15 pagi.

Halimey yang diiringi kira-kira 500 penyokong tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada jam 9 pagi, diikuti Dr Halimah yang diarak lebih 500 penyokongnya, memasuki dewan itu pada jam 9.05 pagi.

PRK Seri Setia diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Baharuddin pada 2 Ogos lalu akibat barah usus.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin menang dengan majoriti 19,372 undi selepas mendapat 29,250 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff M Haniff (9,878); calon Pas, Mohd Ghazali Daud (4,563); dan calon Bebas, S Vigneswaran (217).

Kedua-dua penyokong tiba di lokasi perhimpunan kira-kira jam 7 pagi untuk memberi sokongan kepada calon dan parti masing-masing.

Turut hadir mengiringi Dr Halimah, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad; dan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Turut mengiringi Halimey, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Ketua Wanita Keadilan, dan Zuraida Kamaruddin.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sampai kira-kira jam 10.30 pagi.

Hujan lebat menyebabkan kira-kira 1,000 penyokong dari kedua-dua pihak terpaksa mencari tempat berteduh di premis sekitar Dewan Sivik MBPJ.

Mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang telah dikemaskini pada 2 Ogos lalu, seramai 53,492 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Seri Setia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 21 hari bermula hari ini hingga jam 11.59 malam 7 September.

Halimey adalah bekas Ahli Majlis MBPJ dan berkhidmat dengan parti itu sejak 1998 termasuk aktif dengan kepimpinan di Selangor.

Dr Halimah pula adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang selama dua penggal pada PRU12 dan PRU 13.

Bagaimanapun, beliau tewas dengan majoriti 500 undi kepada calon PKR, Datuk Abdul Rashid Asari pada PRU 14 yang lalu. Beliau hanya mendapat 11,766 undi, manakala Abdul Rashid 12,266 undi, calon BN, Dr Mohd Khairi Hussin memperoleh 9,949 undi. – MalaysiaGazette