Home Politik PH nekad guna isu setempat, Pas guna isu manifesto

PH nekad guna isu setempat, Pas guna isu manifesto

Calon PKR, Halimey Abu Bakar (dua kiri) ketika menyerahkan borang penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohd Azizi Mohd Zain (kanan) pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2018
Calon PKR, Halimey Abu Bakar (dua kiri) ketika menyerahkan borang penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohd Azizi Mohd Zain (kanan) pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2018

PETALING JAYA – Sekalipun seteru ingin menggunakan isu nasional, iaitu manifesto 100 hari Pakatan Harapan (PH), namun calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar akan mengangkat isu setempat sahaja. 

Ujarnya, fokus untuk memenangi undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini adalah isu kemiskinan bandar dan masalah-masalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.

“Antara perkara yang saya akan lakukan ialah nak ambil kira tentang isu PPR Lembah Subang, tentang kemudahan-kemudahan di PPR Lembah Subang, infranya begitu juga kawasan di Desa Menteri sebab DUN Seri Setia kawasan yang banyak pangsapuri atau rumah kos rendah itu yang saya akan dahulukan.

“Saya juga akan cuba selesaikan masalah kemiskinan bandar di kawasan Seri Setia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui. 

Tambahnya, Selangor yang ditadbir PH tidak mempunyai masalah manifesto kerana kebanyakannya telah dilaksanakan.

“Isu manifesto 100 hari ini, kita di Selangor telah selesaikan banyak jadi kita fokus di Selangor,” tambahnya. 

Halimey yakin pengalamannya membantu penyandang kerusi itu sebelum ini untuk menangani masalah setempat dalam masa selama 10 tahun sebagai bekas ahli majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi kelebihan untuk meraih undi. 

“Saya banyak membantu ADUN sebelum ini juga kebetulan,” tambah beliau. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan pertandingan dua penjuru di antara Pakatan Harapan dan Pas. 

Pas kali ini akan dibantu UMNO untuk berkempen memastikan kemenangan berpihak kepada parti Islam itu.

Untuk rekod, kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi.-MalaysiaGazette