Home Sukan Sukan Asia Ke-18 dibuka secara rasmi

Sukan Asia Ke-18 dibuka secara rasmi

PALEMBANG – Majlis perasmian Sukan Asia 2018 diadakan penuh gilang-gemilang di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) di sini malam tadi dengan dibuka secara rasmi oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Lebih 11,000 atlet dan kira-kira 5,000 pegawai dari 45 negara menyertai temasya Sukan Asia ke-18 itu yang berlangsung sehingga 2 September ini.

Atlet dan jemputan dihiburkan dengan tema Malam Selamat Datang menerusi persembahan daripada artis tempatan dan antarabangsa selain diadakan pelbagai aktiviti serta pertunjukan bunga api.

Tuan rumah yang menganjurkan dua bandar menyaksikan di Palembang pula lebih 4,000 atlet, pegawai dan jemputan menyertai upacara sama di Bandar Sukan Jakabaring (JSC).

Berpakaian penuh megah dan seragam, mereka berkumpul di Stadium Gelora Sriwijaya sambil menyaksikan secara langsung upacara pembukaan rasmi sukan kedua terbesar di dunia itu melalui skrin gergasi.

Sejumlah 96 atlet terdiri daripada 50 atlet lelaki dan 41 wanita, menggalas cabaran Malaysia di Palembang, Sumatera Selatan.

Sepak takraw, tenpin boling, menembak, ‘roller sports’, bola tampar pantai, bola sepak wanita dan triathlon adalah antara sukan yang dipertandingkan di JSC.

Sementara itu, Sukan Asia 2018 itu dikatakan menelan kos RM11 bilion. – MalaysiaGazette