SERI KEMBANGAN – Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan MCA untuk menjadi pihak ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan negeri.
Ujarnya, niat MCA untuk menjadi semak dan imbang juga tidak kena kerana semua parti dalam PH sudah berbuat demikian demi memastikan pelaksanaan kerajaan mengutamakan rakyat.
“Saya rasa tindakan MCA untuk jadi semak dan imbang sudah terkebelakang. Buat masa ini, PH sudah berbuat demikian dalam kalangan kami.
“Kami bukan satu parti tetapi kali adalah gabungan empat parti. Bila adalah antara pihak kami yang buat salah, kami akan betulkan mereka,” katanya ketika ditemui media dalam siri jelajah di bilik gerakan JKKK Kampung Baru Batu 11, Cheras hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.
Siew Ki berkata demikian mengulas mengenai manifesto MCA yang berikrar untuk menjadi pihak yang membuat semak dan imbang kepada kerajaan.
Perkara itu dinyatakan calonnya, Tan Chee Teong.
Chee Teong berkata, MCA perlu menjadi pihak semak dan imbang bagi mencegah gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran negeri.
Mengulas lanjut, Siew Ki berkata MCA mungkin lupa bahawa sebelum ini Barisan Nasional banyak menggubal dasar-dasar yang mengongkong rakyat serta media.
“Saya rasa MCA lupa mengenai itu. Tidak semestinya kita jadi ADUN boleh jadi semak dan imbang kepada kerajaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Siew Ki berkata, PH akan membentangkan manifesto gabungan itu pada PRK Balakong minggu depan bagi membolehkan rakyat faham akan isi kandungan manifesto berkenaan. -MalaysiaGazette