Home Nasional Chee Teong tekad selesaikan isu tol di Balakong

Chee Teong tekad selesaikan isu tol di Balakong

Calon MCA N.27 Balakong, Tan Chee Teong menunjukkan keadaan longkang yang sering tersumbat akibat hujan lebat selepas sidang media mengenai perkembangan terkini untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil N. 47 Balakong di Taman Indah, Batu 9, Cheras, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2018
Calon MCA N.27 Balakong, Tan Chee Teong menunjukkan keadaan longkang yang sering tersumbat akibat hujan lebat selepas sidang media mengenai perkembangan terkini untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil N. 47 Balakong di Taman Indah, Batu 9, Cheras, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Belenggu kehidupan penduduk di sekitar kawasan Balakong ekoran dikelilingi masalah tol akan cuba diselesaikan sekiranya MCA dipilih menjadi pembangkang oleh pengundi di kawasan berkenaan.

Calon MCA, Tan Chee Teong berkata, perkara itu menjadi agenda utamanya jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat di Balakong yang akan disuarakan di Dewan Undangan Negeri.

Menurutnya, langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjanji di dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu untuk memansuhkan tol namun, tidak tertunai selepas 100 hari pemerintahan benar-benar mengecewakan rakyat terutamanya penduduk Balakong yang semenangnya dikelilingi tol untuk setiap pergerakan mereka.

“Cuba lihat di kawasan ini, mereka (penduduk) semua dikepung dengan tol.

“Jika pengundi memilih saya sebagai wakil rakyat di sini akan saya bawa isu ini ke sidang DUN.

“Jika tidak dimansuhkan sekalipun saya akan gesa kerajaan supaya mengurangkan harga tol agar tidak membebankan orang ramai,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan banjir di penempataan penduduk di Taman Indah, Cheras di sini hari ini.

Chee Teong berkata, beliau mendapat banyak rungutan daripada penduduk di kawasan itu ekoran isu tol yang serba sedikit memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Dalam perkembangn lain, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa MCA Bahagian Serdang berkata, masalah banjir yang dialami penduduk di beberapa kawasan di sekitar Balakong turut menjadi fokus utamanya untuk diselesaikan.

Katanya, kerajaan negeri pernah membelanjakan kira-kira RM2 juta bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan tetapi sehingga kini perkara sama masih berlaku.

“Saya tidak faham kenapa mereka (kerajaan negeri) belanja sebanyak itu sedangkan belanja yang sepatutnya dikeluarkan adalah RM1 juta sahaja. Masalah banjir tetap berlaku dan ini membazirkan wang rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette